21 Jul 2014

Lelaki Tua Berkain Pelikat 9

P/s:catatan copy paste dari FB Dato Roslan


LELAKI TUA BERKAIN PELIKAT SIRI 9.
Lepas tarawikh pada rakaat ke 16 saya bersandar di dinding. Kepenatan. Lelaki tua masih gagah meneruskan rukuk sujudnya. Tidak mahu ketinggalan, saya meneruskan hingga witir. Habis tarawikh lelaki tua berkain pelikat mengajak saya minum teh.
# 41. Kata pertama beliau sebaik sahaja menghirup teh panas, kita mudah tersilap semasa muda. Kita rasa sebaik tamat belajar, pekerjaan terbaik adalah jadi Profesional Muda. Sebetulnya kita tidak lebih dari Profesional Kota yang cuba melunjur di jalan deras mahu jadi kaya dan berjaya.
Setiap pagi sebaik masuk pejabat, kita bertanya apakah yang patut kita mulakan pagi ini. Kita bekerja dari jam 6 pagi sampai tujuh malam. Kita lupa ibu bapa. Kita tidak kerap hubungi mereka. Kita lupa kerja itu ibadah. Kita lambat solat. Anak pernah tengok drama "Pondok Buruk."
Saya jawab, "Ya. Semua anak saya menonton drama itu." Itu drama keluarga kami. Allahyarham Ismail Din, pelakon filem itu ada anak yang sekelas dengan anak saya. Dia mati di Makkah. Anak saya masa kecil menangis apabila tengok drama itu"
Lelaki Tua Berkain Pelikat berkata, "Bagus. Ibubapa adalah permulaan hidup kita. Sedekahkan Al Fatihah pada mereka sebagai permulaan cerita hari"
#42. Usah sibuk kalut kejar dunia. Dunia semakin dikejar semakin jauh dia dari kita. Dunia ini rumit apabila seluruh cinta kita berikan pada dunia. Dunia ini mudah apabila kita bersederhana.Kita bekerja keras untuk memiliki segala barangan kemahuan moden. Kita mahu perkara tidak perlu. Alangkah dungunya kita.
Kita tidak punya waktu untuk tekun perhati. Kita tidak punya masa berborak kasih dengan isteri. Kita biarkan anak anak besar sendiri. Malah kita tidak punya masa untuk diri sendiri. Kita tergolong orang tolol diri mabuk teknologi.
Ermmm. Pedas sungguh "cili padi" orang tua ini. Lebih pedas dari "cili bangi"
#43. Besederhana. Buang masa masa yang membingungkan. Ubah sedikit jadual. Adakan waktu untuk bersenang senang dan santai. Apabila anak lihat Pak Cik sedang baca Al Quran lepas asar itulah waktu santai bagi orang tua macam Pak Cik. Umur sudah 75 tahun, apa lagi yang mahu disantaikan selain menyiapkan diri untuk kembali ke kampong halaman.
#44. Apabila kita sederhana, kita rasa aman dan bahagia. Usah jelaskan pada orang ramai. Mereka tidak faham. Biarkan mereka. Perasaan tidak boleh dijelaskan dengan kata kata apatah lagi pada minda yang tertutup.
Pelajari dua perkara ini dahulu.
"Hidup sederhana boleh bermula dengan dua perkara. Pertama batasi desakan untuk berbelanja. Kita mudah terdorong oleh pesona iklan media massa. Lepaskan kegilaan jenama itu.
Kedua, batasi kecenderungan kita untuk mengatakan "ya". Pada hal duduk perkara sebenarnya kita mahu mengatakan tidak. Belajar beri masa kepada diri sendiri. Elakkan dari kerumitan menyanggupi perkara yang kita tidak mampu lakukan."
#45. Pegang lapan perkara ini.
1. Luangkan masa untuk membaca. Paling utama baca Al Quran.
Ia firah manusia. Satu satunya kitab yang boleh dihafal.
2. Lakukan muhasabah pada subuh hari. Banyakkan menangis.
Ia energi kesusahan diri. Dorongan kuat maju ke hadapan.
3. Lepaskan keterikatan pada harta benda. Lupakan pesona kemewahan.
4. Hentikan kebiasaan menghakimi orang. Tangguhkan dulu penilaian.
5. Solat pada awal waktu. Ia melapangkan masa untuk berbuat sesuatu.
6. Belajar menikmati masa bersendirian. Berzikir. Berfikir.
7. Bersedekah diawal pagi. Ia banyak menghindarkan kita dari mara bahaya.
8. Bekerja keras. Lama kelamaan kita boleh cerdas.
Soal ikhlas urusan Allah untuk tentukan.
Kami menghirup teh panas. Dan mula beransur pulang. Lelaki Tua Berkain Pelikat kembali iktikaf. Saya mula menapak pulang dengan ilmu kehidupan yang sarat.