5 Jul 2014

Lelaki Tua Berkain Pelikat 7

Nota : copy paste dr FB Dato Roslan Ab Hamid

LELAKI TUA BERKAIN PELIKAT SIRI TUJUH.

Selepas Jumaat, tatkala ramai jemaah bergegas pulang, saya duduk duduk bersandar di dinding. Pada masa ini hamparan kain sumbangan sedekah dibuka. Duit kutipan dilonggok dan dibilang kira. Nyata banyak yang rm1, kadang kadang rm5, jarang jarang rm10 dan sekali sekala ada not rm50.

Belakang saya ditepuk. Saya berpaling dan nyata ia Lelaki Tua Berkain Pelikat yang namanya telah gah disebut ramai di alam maya. 

"Belum balik", dia berkata sambil dia melabuh duduk ditepi saya. Tangannya menunjukkan pada kiraan duit yang diterima." Alhamdulillah, masih ada tangan diatas yang mahu memberi". "Inilah pentingnya ekonomi. Kita ada upaya menyumbang. Kita ada rasa mahu berkongsi. Tanpa ada rasa seumpama ini, hancurlah masyarakat kita". Demikian lah Lelaki Tua itu mula berkata.

Saya senyum, membenarkan beliau terus berkata kata. Saya notakan dalam angka untuk memudahkan kita menangguk hasil dari buah bicara kebijaksanaan Lelaki Tua ini.

#31. Hidup dengan acuan Allah. Terikat dengan Allah dalam setiap gerak dan geri. Baca Al Quran. Akhlak Rasulullah itu ada dalam Al Quran. Pada masa ini dia bacakan ayat Al Quran surah Al Syamsu ayat 9-10. (Saya balik lihat semakan terjemahannya: "Sesungguhnya berjayalah orang orang yang membersihkan jiwanya dan sangat malang orang orang yang mengotori jiwanya")

#32. Hati kita mesti diisi dengan ketabahan. Tabah itu mendorong kita meneruskan perjalanan. Apabila kita kata kita beriman kepada Allah kita mesti berani. Usah jadi hati tikus. Penakut dan pengecut. Berdecit sepanjang masa. Manusia akan jadi pengecut, pertama apabila mereka percaya ada kuasa lain dari Allah yang boleh mematikan kita. 

Orang tua dahulu kata, "berpantang ajal sebelum mati". Maksudnya mati kita hanya ditangan Allah SWT. Kedua, kita takut apabila kita cintai diri, harta, keluarga lebih dari cinta kepada Allah. Kita mesti ada rasa mahu temui Pencipta di akhirat nanti. Apabila ada rasa sedemikian rupa, semua yang lain menjadi indah pada penghidupan sementara ini.

(Nota: Pada saat ini, terdetik hati saya walikah Lelaki Tua ini. Cepat dia tersenyum dan berkata, kenapa pandang Pak Cik sedemikian rupa. Pak Cik hanya orang biasa yang menyerah bulat pada Allah SWT. Itu sahaja anak)

#33. Hidup ini perlu yakin. Perlu sentiasa nyalakan harapan. Kita bertuah ada Allah SWT. Apabila kita beriman pada Tuhan yang memiliki langit dan bumi, yang memiliki kurnia dan nikmat yang banyak dan melimpah ruah, segalanya jadi mudah. Minta dengan Allah. Minta sungguh sungguh. Minta banyak banyak.

Perkara paling besar dalam hidup ini adalah jadi orang tenang. Tenang apabila kita ada ketenteraman jiwa. Usah kejar kuasa anakku. Kuasa menjadikan kita huru hara. Kuasa meletakkan kita dipinggir neraka. Berilah pada orang lain jadi ketua.

Hati kita jadi tenang. Jiwa jadi tenteram apabila kita ada aqidah tauhid. 
Iman kepada Allah itu yang bentuk kekuatan besar, nekad, berani dan tabah. 
Inilah yang orang ramai panggil tawakal.

#34. Akal kita guna untuk tujuan kebaikan. Akal kita miliki untuk bawa keredhaan Allah. Akal adalah untuk pastikan hidayah Allah berkekalan. Manusia jadi mulia apabila sifat kemanusiaan kita sandarkan pada kekuatan pemikiran.

Tujuan akhir kita mahu jadi hamba hamba yang bersyukur. Caranya kita berterima kasih kepada Allah. Abadikan diri dengan segala bentuk amal ibadat. 
Kita tinggalkan kerja kerja maksiat. Kita jauhi perkara mudharat.

Usah tunggu orang lain lakukan kebaikan. Jadi diri sendiri. Kitalah satu satu yang wajar memulai kebaikan. Kita pemula. Kita peneroka.

#35. Untuk jadi hamba bersyukur mulakan dengan rezeki yang berkat. Mudah kita dapat ampunan dan rahmat Allah. Rezeki berkat hanya milik orang yang dapat redha Allah. Redha Allah hampiri kita apabila ada kejujuran dan keadilan dalam bisnes.

Fokus pada kerja. Sabar ikut proses. Tabah apabila ada dugaan. Terus melangkah. Usah rasa hina dengan perkataan manusia.

Buang dari hati kita sifat dengki, haloba, tamak, dendam, sombong, riak, takabur. Usah ada lintasan itu. Bersihkan hati kita. Bersihkan hati anakku.

(Nota: Pada saat ini air mata dia mengalir tanpa henti)

Bersambung.